11 Hikmah dan Keutamaan Membaca Surah Al-Fatihah (Kelebihan & Fadhilat)

kelebihan membaca al fatihah untuk jodoh

Surah Al Fatihah sememangnya terbukti mempunyai hikmah kelebihan, fadilat dan khasiat yang tersendiri dan sering diamalkan oleh mereka yang mendalaminya. Ia juga sering dibaca di dalam solat dan doa malah sering dibacakan setiap hari dalam kehidupan seharian ramai orang selain dijadikan penawar dan penyembuh berbagai jenis penyakit.

Surah Al Fatihah (سورة الفاتحة) Pembukaan surah yang diturunkan di Makkah dan diturunkan selepas Surah Al-Muddathir. Surah ini mempunyai 7 ayat dan inilah surah pertama yang diturunkan lengkap keseluruhan ayat bagi sebuah surah dan termasuk dalam golongan surah Makkiyyah.

Surah ini dinamakan Al Fatihah(Pembukaan) kerana ia dijadikan sebagai pembuka dan permulaan Al-Quran. Surah ini juga dinamakan Ummul Quran (ام القــرآن – Ibu Quran) atau Ummul Kitaab (ام الكتاب – Ibu Kitab)kerana ia merupakan ibu atau induk kepada semua isi Al-Quran dan menjadi inti sari dari kandungan Al-Quran itu sendiri. Surah ini turut dinamakan As-Sab’ul Matsaani yang bermaksud tujuh yang berulang-ulang kerana ayat ini diulang-ulang bagi setiap solat.

Hikmah dan Kelebihan Membaca Surah Al Fatihah


kelebihan baca al fatihah 41 kali

1. Membaca surat Al-Fatihah akan mendapat pahala seperti membaca sepertiga Al Quran .

2. Setiap satu ayat dari surah Al-Fatihah menjadi penutup satu pintu neraka.

3. Orang yang membaca Al-Fatihah seolah-olah ia telah membaca kitab taurat, injil, zabur,  Al Quran, suhuf idris As. dan suhuf Ibrahim As. sebanyak 7 kali.

4. Orang yang membaca Al-Fatihah seolah olah ia telah sedekahkan emas di jalan Allah SWT.

5. Amalkan membaca Al-Fatihah sebanyak 70 kali setiap hari dalam keadaan berwuduk dan ditiupkan pada air lalu diminum selama tujuh hari. Insya Allah akan mudah memperoleh ilmu pengetahuan, disamping itu dapat membersihkan hati dari fikiran yang rosak.

6. Sesiapa membaca Al-Fatihah berserta Bismillah diantara Solat Sunat Subuh dan Fardhu Subuh dengan istiqamah, maka jika ia inginkan pangkat terkabullah ia dan kalau ia fakir maka akan kaya serta jika ia ada hutang maka akan mampu membayarnya dan kalau ia sakit maka akan sembuh serta kalau ia punya anak maka anaknya itu menjadi anak yang soleh, berkat surah Al-Fatihah.

7. Amalkan membaca Al-Fatihah ketika hendak tidur, diikuti membaca Surah Al – Ikhlas tiga kali, Surah Al -Falaq dan Surah An – Nas , insya Allah akan aman tenteram dan dijauhkan dari gangguan syaitan.

8. Sesiapa mengamalkan bacaan Al-Fatihah sebanyak 20 kali setiap kali selesai solat fardhu lima waktu, maka Allah SWT luaskan rezekinya, baiki akhlaknya, mudahkan urusannya, hilangkan kesusahannya, anugerahkan apa yang diimpikan, dapat berbagai berkat dan kemuliaan, jadikan ia berwibawa, berpangkat luhur, penghidupan baik dan anak-anaknya pula terlindung dari kemudaratan dan kerosakan serta dianugerahkan kebahagiaan dan sebagainya.

9. Untuk membuka pintu rezeki yang luas dan mempermudahkan segala urusan hidup serta terhindar dari segala kesulitan, amalkan membaca Al-Fatihah sebanyak 41 kali saat makan sahur malam. Insya Allah akan dimakbulkan Allah SWT.

10. Sesetengah ulama mengesyorkan membaca Al-Fatihah sebanyak 40 kali setiap kali selesai solat Maghrib dan solat sunat. Insya Allah hajatnya akan dikabulkan.

11. Sesiapa yang membaca ‘Al-Fatihah’ 1 kali di waktu hendak tidur, Surah ‘Al-Ikhlas’ sebanyak 3 kali dan ‘Mu’awwidzatain’ (Surah Al-Falaq dan surah An-Nas) 1 kali, sebelum tidur. Insya Allah maka ia akan terpelihara dan selamat daripada segala perkara dan ancaman seperti mimpi buruk, gangguan syaitan, kecurian, kebakaran dan malapetaka, selain daripada ajal.

Surah Al-Fatihah Untuk Diri Sendiri


Perkongsian daripada Ustaz Ebit Liew melalui laman Facebook yang menerangkan kepada kita bagaimana kita juga boleh menghadiah surah Al-Fatihah dengan membaca surah ini untuk diri kita sendiri.

Pernahkah anda menghadiahkan Al-Fatihah untuk DIRI anda sendiri? Jika belum, lakukanlah mulai hari ini kerana ini adalah makanan yang baik bagi ROH kita, iaitu zikir-zikir dan Al-Fatihah. Ia adalah sebaik-baik hadiah untuk Ruhani kita.

Cara Mengamalkan Surah Al Fatihah

Setiap pagi apabila kita bangun dari tidur, lakukanlah seperti yang dikongsikan di bawah, sebaiknya amalkanlah setiap hari dalam kehidupan kita tanpa meninggalkan amalan walau dalam sehari.

1. "Beri salam" pada diri sendiri dahulu

2. Lalu panggil nama PENUH kita dengan lembut 3 kali

3. Kemudian sentuh dada kiri kita ( jantung ) sambil mengucapkan : "ALHAMDULILLAH "

4. Kemudian katakanlah :

Aku hadiahkan Al-Fatihah ini untuk diriKu sendiri, lahir dan batinku, Yaa Allah jagalah hamba-Mu ini, lindungi hamba-Mu, Jadikanlah hamba Penjemput rezeki Allah yang berlimpahan seperti air sungai yang mengalir tiada hentinya. Aamiin Ya Allah.

Lalu baca surah Al-Fatihah 1x.

Lakukan sekarang kerana mungkin sudah lama atau tidak pernah anda menghadiahkan Al-Fatihah pada diri sendiri, lakukan sekarang dan nikmatilah RASAnya.

Rasulullah SAW bersabda :

"Barang siapa yang menyampaikan 1 (satu) ilmu saja dan ada orang yang mengamalkannya, maka walaupun yang menyampaikan sudah tiada (meninggal dunia), dia akan tetap memperoleh pahala." (HR. Al-Bukhari)



Semoga perkongsian hikmah dan kelebihan surah Al Fatihah ini akan bermanfaat buat anda semua di luar sana. Mari sama-sama kita memperbaiki selain mengamalkan surah ini dalam kehidupan kita dan jadikan ia satu amalan harian sama sebelum bangun tidur sehinggalah ingin tidur.