Amalkan 3 Cara Untuk Menjadi Hamba Allah Yang Sebenar

Cara taat setia pada Allah

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam untuk Rasulullah SAW dan tiada nabi lagi selepasnya, pembawa rahmat ke seluruh alam.

Hari ini mari kita bincangkan tentang cara untuk menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya. Kerana hanya itulah yang Allah SWT mahukan terhadap hamba-Nya. Sebagaimana Ibu bapa mahukan anaknya menjadi anaknya yang soleh dan solehah.

Malah, jika kita berlagak seperti bukan hamba-Nya, ia masih tidak akan dapat mengurangkan kemuliaan Allah tetapi sudah tentu kita akan menerima balasan yang setimpal oleh-Nya. Nauzubillah.

Sebagaimana Firman Allah yang sering kita dengar ketika khutbah jumaat:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Jadi, sebagai seorang muslim yang benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah SWT, mari kita sama-sama mempraktikkan 3 cara untuk menjadi hamba Allah berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran. 3 cara itu adalah:

1. Jiwa Yang Sentiasa Tenang

Firman Allah:

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ

"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang!"

(Al-Fajr 89: 27)

Menurut Syeikh Zaini Hj Ahmad, ayat di atas bermaksud, seorang mukmin yang betul-betul bertakwa kepada Allah S.W.T. akan sentiasa tenang dalam kehidupan. Sama ada ketika senang atau pun susah.

Yang bermakna, kedua-dua jenis keadaan ini tidak akan menggugat iman mereka. Kerana kebanyakan orang-orang Islam (termasuk saya), sering kali terlupa akan Allah terutamanya ketika diberi nikmat yang melimpah ruah daripada Allah.

Namun, pada hati dan jiwa orang yang ingin menjadi hamba Allah yang sebenarnya, mereka akan sentiasa bersyukur dan bersangka baik dengan segala pemberian Allah. Tidak kiralah sama ada mereka ditimpa musibah, kesakitan, ujian yang berat atau pun nikmat yang berlipat kali ganda. Kesemua itu, tidak sedikit menyebabkan mereka lupa pada Allah.

2. Sentiasa Bertaubat dan Kembali Pada Allah

ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ

"Kembalilah kepada Tuhanmu…"

(Al-Fajr 89: 28)

Kerana sebagai seorang Muslim, kita tidak akan terelak daripada melakukan dosa pada setiap hari. Kita bukanlah nabi atau rasul yang tidak mempunyai dosa . Jadi, bagi mereka yang benar-benar hamba kepada Allah, mereka akan sentiasa bertaubat, beristighfar dan kembali kepada Allah.

Jadi, untuk menyambut seruan ini, mari kita sama-sama mengamalkan solat sunat taubat dua rakaat setiap kali sebelum tidur jika berkelapangan. Semoga dengan itu, segala dosa kita akan diampunkan setiap kali sebelum tidur. Kerana kita tidak tahu adakah kita akan dapat bangkit lagi atau pun di hari esok.

3. Redha dengan Allah Sebagai Tuhan

Dan kita pula redha sebagai hamba kepada-Nya. Sebagaimana Firman Allah:

رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً

 "…dengan hati yang redha dan diredhai-Nya!"

(Al-Fajr 89: 28)

Yang bermakna, kita perlu redha Allah SWT sebagai Tuhan dahulu, barulah Allah akan meredhai kita bukan sebaliknya. Tetapi, kita perlu membuktikannya dengan perbuatan bukan hanya dengan kata-kata.

Jika, kurang berkemampuan, Syeikh Zaini menasihati kita semua agar memperbanyakkan berdoa kepada-Nya  supaya hati kita sentiasa redha dengan Allah sebagai Tuhan. Insya Allah, hati kita akan secara perlaha-lahan akan meredhainya dengan izin-NYa.

Redha di sini pula bermaksud, redha dengan segala apa yang Allah takdirkan setelah berusaha dan sentiasa bersangka baik kepada Allah. Dengan mengamalkan kedua ini, barulah ia dapat dibuktikan bahawa kita meredhai Allah bukan hanya dengan lafaz sahaja.

Untuk mengakhiri 3 point ini, elakkan kita hanya menjadi hamba Allah SWT dengan sebenar-benarnya hanya apabila ditimpa kesusahan. Tetapi apabila hidup semakin senang dilupakan sahaja Allah itu. Sangat bahaya dan ditegah syarak perbuatan sedemikian rupa.

Akhir kalam, mari kita sama-sama mengamalkan 3 cara untuk menjadi hamba Allah SWT di atas. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang yang menjadi hamba Allah pada setiap masa dan di mana-mana sahaja. Insya Allah.

Wallahua`lam.