30 Pesanan Imam Syafie Yang Wajib Dijadikan Amalan

Kehebatan dan keistimewaan imam syafie

Imam Syafie (Imam As-Syafi'e) sememangnya amat dikenali kerana kehebatan dan keistimewaan yang dia miliki. Beliau dibesarkan dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan. Semenjak kecil lagi beliau telah didik untuk mendalami dan mempelajari ayat-ayat suci Al-Quran.

Kisah Imam Syafie seperti yang diceritakan, beliau pada mulanya menghafal Al-Quran ketika berusia sembilan tahun. Ketika di usia 10 tahun beliau menghafal serta turut memahami kitab al-Muwatta yang dituliskan oleh Imam Malik.

Antara keistimewaan Imam Syafie adalah mempunyai suara yang sangat merdu malah beliau boleh juga bersyair serta bersajak. Ketika beliau berusia 15 tahun, beliau telah mengajar dan memberi fatwa kepada ramai orang Islam di Masjid Al-Haram.

Disebabkan kegigihan, kehebatan, kepandaian dan kecerdikan Imam Syafie yang sangat luar biasa itu, beliau amat disegani malahan disanjung oleh masyarakat setempat. Beliau telah meninggal dunia di Mesir pada tahun 204 hijrah ketika umur beliau berusia 54 tahun.

Mungkin mereka yang tidak tahu pasti akan mengatakan namanya adalah Imam Syafie sahaja. Sebenarnya nama penuh beliau adalah Muhamad bin Idris bin Abbas bin Ulthman bin Shafie bin Saib bin Abdu Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf.

nama ibu imam syafie

Ayah Imam Syafie berasal daripada keturunan Quraisy dari Bani Mutalib. Ayahnya meninggal dunia sewaktu Imam Syafi'i masih kecil. Ibunya pula bernama Ummu Habibah al-Uzdiyyah yang berasal dari kabilah Yaman dari suku Uzd.

Imam As-Syafie dilahirkan di kota Gaza Palestin pada ketika bulan Rejab pada tahun 150 hijrah. Ada yang berpendapat pada malam sebelum beliau dilahirkan, Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) telah meninggal dunia.

Pada zaman itu Khalifah Islam yang berwibawa pada ketika itu adalah khalifah Abu Jaafar al-Mansur yang berasal daripada Bani Abbasiyah.
      
Imam Syafie sangat melarang taklid, baik taklid kepada dirinya sendiri atau pun kepada sesiapa sahaja di dunia ini. Ketika waktu hidupnya, beliau seringkali menasihatkan orang ramai lebih-lebih lagi anak muridnya sendiri tentang perkara berkaitan dengan taklid ;
              
"Janganlah mereka-reka dalam perkara-perkara agama menggunapakai taklid sahaja kepada perkataan atau pun tindakan yang tidak disertai dengan keterangan atau pun alasan dari Al-Quran dan hadis."
    
Pesan Imam Syafie :

"Setiap satu perkara yang saya katakan padahal Rasulullah bertentangan kepada perkataan saya, Rasulullah itulah yang wajib dan lebih utama perlu dituruti."

30 Pesanan Imam Syafie Kepada Umat Islam


Wasiat Imam Syafie

1. Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di dunia dan akhirat.

2. Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut dunia.

3. Pilihlah makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan menyebabkan syaitan gerun.

4. Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Bala dan musibah menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu, bersyukurlah kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur.

5. Apabila salah seorang antara kaum kerabat atau pun jiran dan saudara kamu sakit, kamu perlu ringankan langkah menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat dan amat dicintai Allah.

6. Marah adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindarilah ia supaya dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.

7. Kasihanilah anak yatim kerana Rasulullah juga tergolong sebagai anak yatim dan beliau akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihi anak-anak yatim di akhirat.

8. Berbuat baik dan tunjukkan bakti kepada ibu bapa tanpa mengenali penat dan lelah sebagaimana mereka berbuat begitu sepanjang hayat mereka. Ia dapat menambahkan keberkatan pada umur, menambah rezeki dan keampunan atas dosa-dosa kamu.

9. Perbanyakkanlah amal yang soleh kerana ia adalah pendinding dan perisai orang mukmin dan pelindung kepada serangan iblis.

10. Takwa adalah pakaian kebesaran dan hiasan akhlak Muslim sebenar. Ia ibarat pokok zaitun, minyaknya membawa berka, ia juga memberikan kejayaan dan kemenangan.

11. Iman mempunyai bentengnya untuk menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu bagi menguatkan benteng iman, keimanan perlu dibajai dengan lima perkara, yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah, bertatasusila atau pun berdisiplin dalam mengerjakan ibadah.

12. Ingat dan zikir kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana ia mampu mengubati penyakit jasmani dan hati. Ia mencetuskan ketenangan hidup dan qanaah.

13. Khusyuk secara zahir adalah khusyuknya orang awam, khusyuk secara batin adalah khusyuknya orang pilihan di sisi Allah SWT.

14. Kubur adalah perhentian sementara bagi membolehkan ke satu perhentian lagi yang penuh dengan soal siasat. Oleh itu, persiapkanlah jawapan yang adil dan benar melalui amal yang benar dan taat kepada al-haq yang tidak berbelah bagi.

15. Kita perlu sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT, sekurang-kurangnya dengan mengucapkan "A'uzubillahi minassaitathanirrajim". Kita wajib bersabar sekiranya serangan syaitan datang juga bertalu-talu dengan hebat dan menyedari Allah Taala hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat ketulenan jihad kita. Ketahuilah perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil.

16. Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah kamu mengira keburukan orang lain sedangkan keburukan itu terdapat dalam diri kamu sendiri.

17. Hati itu adalah raja dalam diri. Oleh itu, lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebatilan.

18. Ketahuilah bahawa istighfar yang diucapkan dengan betul mampu membuatkan syaitan lari ketakutan dan menggoncang empayar iblis di istana kerajaannya.

19. Ketahuilah sebesar-besar kesenangan di dunia dan akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus segala kesalahannya. Allah pasti akan meninggikan darjatnya di sisi manusia.

20. Tafakurlah sebelum tidur bagi menghisab diri di atas salah dan silap semasa aktiviti pada siang hari sebagaimana Umar bin al-Khattab menyiasati dirinya dengan berbagai soalan berkenaan dosa-dosanya ketika di siang hari.

21. Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat. Ia juga amalan para nabi, rasul dan orang-orang yang soleh.

22. Sesiapa yang ingin meninggalkan dunia ini dengan selamat, dia perlu mengamalkan beberapa perkara berikut iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan bercakap dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

23. Kamu seorang manusia yang dijadikan daripada tanah dan kamu juga akan disakiti (dihimpit) dengan tanah nanti.

24. Sesiapa yang menjalin ukhuwah dan menghidupkannya, dia akan memperolehi begitu banyak kebaikan.

25. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan ditinggikan darjat dan diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan semua perintah Allah.

26. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pertolongan Allah seperti dalam pernyataannya dalam surah ar-Rom ayat 47 yang bermaksud; dan adalah menjadi hak (tanggungjawab) kami untuk menolong orang yang beriman.

27. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pembelaan kepada Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-Hajj ayat 38 yang bermaksud, Allah membela orang yang beriman.

28. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman dan bertakwa, Allah pasti menaikkan darjat mereka hingga ke taraf wali-wali Allah selagi memenuhi syarat-syaratnya seperti dalam pernyataannya dalam surah al-Baqarah ayat 257 yang bermaksud, Allah penolong (wali) bagi orang yang beriman.

29. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman akan memberi petunjuk dan jalan lurus sebagaimana pernyataan Allah dalam surah al-Hajj ayat 54 yang bermaksud "Allah akan memberi petunjuk bagi orang yang beriman kepada jalan yang lurus."

30. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan memperoleh rezeki yang baik dan pelbagai keberkatan selagi mereka menunaikan perintah Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud, sekiranya penduduk kota beriman dan bertakwa pasti kami akan melimpahkan mereka berkat dari langit dan bumi tetapi sekiranya mereka mendustakan ayat-ayat kami, kami akan seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.

Baca Juga : 12 Kaum Yang Dibinasakan Oleh Allah SWT

Semoga perkongsian 30 pesanan Imam Syafie ini akan menambahkan lagi pengetahuan kita semua dan bermanfaat kepada sesiapa sahaja. Insya Allah. - ilmualam.com