Kelebihan solat tahajjud tidak hanya dapat menenangkan jiwa, mendapat tempat yang terpuji di sisi Allah dan banyak lagi kebaikan lain tetapi ia lebih baik dan terlalu banyak keistimewaannya yang diberikan oleh Allah SWT jika suami isteri dapat melakukan tahajud bersama-sama.
Pasti ramai yang sering melakukan solat tahajud setelah tahu tentang fadhilat, kebaikan dan kelebihan solat ini. Tetapi mungkin ada yang tidak tahu jika bertahajjud bersama suami dan isteri lebih baik dan afdal selain banyak kebaikannya.
Kelebihan Solat Tahajud Suami Isteri
Berikut kami kongsikan beberapa kelebihan jika suami isteri yang dapat melakukan solat tahajjud bersama.
1. Keluarga Sakinah Penuh Dengan Kasih Sayang
Suami dan isteri akan dirahmatilah dan akan diberikan keluarga yang dipenuhi dengan kasih sayang serta diberikan keluarga sakinah mawaddah wa rahmah dan sakinah itu adalah ketenangan.
Keluarga yang sakinah akan membuatkan seorang suami itu ketika berada di luar rumah yang kepenatan kerana berkerja atau menyebarkan dakwah dan sebagainya, pasti akan merasa tenang dan gembira apabila masuk ke dalam rumah serta bertemu dengan isteri tercinta.
Mawaddah pula ertinya cinta kerana pertimbangan fizikal yang menyebabkan suami menyayangi isterinya kerana kecantikan manakala isteri melihat suami dengan penuh ketampanan lalu rasa cinta yang teramat telah menyatukan kedua-duanya.
Dari mawaddah inilah suami dan isteri akan saling memenuhi kehendak dan keperluan serta dapat mengubah tanggungjawab dan syahwat dengan penuh pahala. Mawaddah biasanya berlaku ketika di awal perkawinan dan setelah usia menginjak ke fasa tua, mawaddah tidak lagi menjadi keutamaan.
Jadi, mengapa suami dan isteri tetap sayang dan harmoni walaupun ada ketika tidur saling membelakangi antara satu sama lain? Itulah rahmat. Cinta dan kasih sayang bukan dipandang kerana bentuk dan fizikal sebaliknya kerana akhlak, karakter dan kerana cinta dan kasih sayang itu sendiri.
Kepada suami isteri yang melakukan solat tahajjud bersama, Allah akan memberikan rahmat-Nya dan salah satu rahmat yang dapat dilihat adalah kasih sayang dalam rumahtangga.
"Semoga Allah merahmati seorang lelaki yang bangun di waktu malam lalu solat dan ia pun membangunkan isterinya lalu si isteri juga solat. Bila isteri tidak mahu bangun, ia percikkan air ke wajahnya.
Semoga Allah juga merahmati seorang perempuan yang bangun di waktu malam lalu ia solat dan ia pun membangunkan suaminya. Bila suami enggan untuk bangun, ia pun memercikkan air ke wajahnya." (HR. An Nasa’i - Hadis Abu Dawud dan Tirmidzi)
2. Dicatat Sebagai Orang Yang Selalu Ingat Allah
Suami isteri yang selalu bertahajud bersama akan dicatat sebagai orang-orang yang sentiasa mengingati Allah. Alangkah bahagianya sekiranya Allah memasukkan seorang hamba-Nya dalam kategori yang sering mengingati-Nya. Kerana Allah telah menjanjika, sesiapa yang ingat pada-Nya maka Allah akan mengingati orang tersebut.
Ketika diri kita berhadapan dengan seribu masalah pasti akan ditolong oleh Allah. Ketika kita memerlukan sesuatu pasti akan sentiasa akan dibantu Allah. Ketika kita dizalimi pasti akan dibela oleh Allah SWT.
Hanya suami isteri yang sentiasa bangun dan saling mengejutkan dari tidur untuk menunaikan solat tahajud bersama, biarpun solat ini hanya dua rakaat sahaja, suami isteri itu akan mendapat kelebihan dan keistimewaan ini.
"Jika seorang lelaki membangunkan isterinya di waktu malam lalu keduanya solat, atau solat dua rakaat bersama, maka keduanya ditulis dalam kelompok orang-orang yang selalu mengingati Allah." (HR. Abu Daud, An Nasa’i dan Thabrani)
Baca : 4 Kelebihan Utama Solat Tahajjud
Dengan kelebihan dan keistimewaan yang akan diberikan oleh Allah SWT kepada suami dan isteri yang menunaikan solat tahajud bersama itu, adakah kita akan berusaha untuk melakukan dan membiasakannya nanti? Amalkan dengan pasangan, insya Allah penuh keberkatan.
Semoga perkongsian keistimewaan dan kelebihan solat tahajud suami isteri ini akan membuka pintu hati anda dan pasangan untuk bersama-sama mengamalkan solat yang hanya dua rakaat ini demi untuk hubungan dan keluarga tersayang serta kerana Allah SWT. Semoga bermanfaat. - Facebook