Panduan & Cara Mandi Wajib Yang Betul Lelaki dan Wanita

mandi wajib

Bagaimana cara mandi wajib yang betul dan sah mengikut hukum syarak dalam Islam dan apakah mandi junub yang kita lakukan itu sempurna seperti mana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW?

Di sini dikongsikan panduan mudah yang ringkas yang boleh kita lakukan berserta langkah demi langkah cara mandi wajib, rukun mandi junub dan juga niat mandi wajib yang harus kita semua ketahui.

Kenapa Orang Islam Perlu Mandi Wajib


Adalah penting bagi seorang muslim untuk mandi wajib kerana inilah asas dalam kesucian kehidupan sebagai seorang umat Islam.

Jika mandi wajib tidak sah atau tidak sempurna, semua ibadah kita termasuk solat tentunya tidak akan diterima oleh Allah SWT.

Disebabkan itulah, sebagai umat Islam kita harus faham dan wajib memberikan tumpuan kepada perkara berkaitan dengan mandi wajib ini agar tidak menjadi dosa sekiranya dilakukan dengan tidak betul.

Ada beberapa perkara yang mengharuskan kita untuk melaksanakan mandi wajib dan sebaiknya ia dilakukan dengan segera, antaranya adalah seperti berikut;

1. Bersetubuh atau Berjimak

Tanpa mengira sama ada keluar air mani atau pun tidak. Perkara ini berlaku apabila pasangan lelaki dan perempuan bersama iaitu kedua-dua kemaluan mereka bertemu.

2. Keluar air mani dengan sengaja atau tidak

3. Mati selain daripada mati syahid

4. Kedatangan haid bagi wanita

5. Nifas iaitu darah selepas bersalin

6. Wiladah iaitu bersalin

Rukun Mandi Wajib


Dua rukun mandi wajib yang perlu kita ketahui iaitu;

1. Niat Mandi Wajib (Mengangkat Hadas Besar)

niat mandi wajib

Maksudnya dalam rumi:

Aku berniat mengangkat hadas besar kerana Alla Taala

2. Membasuh Seluruh Anggota Tubuh Badan

Harus memastikan meratakan air ke semua anggota badan termasuk:

  • Kemaluan lelaki dan perempuan depan dan belakang
  • Rambut
  • Semua bulu yang ada di anggota badan
  • Cuping atau kulit telinga

Sekiranya air tidak terkena pada salah satu anggota kita maknanya mandi anda itu tidak sah dan belum sempurna sepenuhnya.

Perkara Wajib dan Sunat Yang Harus Dilakukan Ketika Mandi Wajib


Perkara Wajib

  • Niat
  • Membasuh seluruh badan iaitu zahir termasuk rambut dan kulit

Perkara Sunat

  • Membasuh dengan memulakan kanan terlebih dahulu diikuti kiri
  • Membasuh kedua-dua belah tangan
  • Mencuci kemaluan menggunakan tangan kiri
  • Mengambil wuduk
  • Membasuh rambut di kepala sebanyak tiga kali
  • Membasuh ke bahagian tubuh yang berlipat seperti perut, pusat, ketiak dan telinga
  • Mengosok secara berturut-turut pada anggota badan
  • Membasuh dengan berulang sebanyak tiga kali

Sebaiknya kita mengikuti apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW dan insya Allah mandi wajib yang kita lakukan itu pasti sah dan sempurna walaupun ringkas.

Antara Persoalan Mandi Wajib


1. Apakah beza mandi wajib antara lelaki dan perempuan?

Mandi wajib lelaki dan perempuan tiada perbezaan tetapi kaum wanita haruslah menitikberatkan kebersihan dan kesucian iaitu dengan memastikan air diratakan ke semua bahagian sulit dan rambut.

2. Adakah mandi wajib sah jika mandi tanpa memakai pakaian


Hukum mandi telanjang tanpa seurat benang adalah makruh dan ada pendapat mengatakan ia adalah haram.

Walau bagaimanapun, ianya masih sah mandi jika bertelanjang sekiranya mandi itu tidak dilihat orang atau di tempat yang tertutup secara bersendirian.

3. Adakah kita boleh dengan hanya niat; Sahaja aku mandi hadas besar kerana Allah Taala bagi mandi hadas haid, nifas, wiladah dan junub?

Ia sah dan boleh dilakukan, apabila kita niat mengangkat hadas besar iaitu mandi junub, jadinya terangkatlah semua hadas besar termasuk mandi haid, nifas, wiladah dan sebagainya.

4. Adakah sah mandi wajib dengan menggunakan sabun dan syampu?

Kita disarankan mandi seperti biasa terlebih dahulu kemudiannya mandi wajib.

5. Apakah perlu mandi wajib jika bermimpi tapi tak keluar air mani?

Sekiranya seseorang itu bermimpi dan tidak keluar air mani, adalah tidak perlu baginya untuk mandi wajib.

Perkongsian Cara Mandi Wajib dari JAKIM


cara cara mandi wajib

Untuk melakukan mandi wajib yang betul, seseorang itu tidak boleh melakukannya dengan hanya mandi secara berdiri atau duduk mencangkung sahaja. Sebaliknya, ia mesti dilakukan dalam kedua-dua keadaan bagi membolehkan seseorang itu meratakan air ke seluruh anggota badannya yang zahir.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Uztaz Haji Mat Jais Kamos, menegaskan, bagaimanapun, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas kadi di Pejabat Agama Islam Gombak Timur dan penceramah, didapati banyak umat Islam yang tidak mengetahui perkara ini.

Akibatnya, mandi wajibnya menjadi tidak sah kerana tidak memenuhi salah satu rukun mandi wajib iaitu meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir. Apabila mandi wajib tidak sah, ibadat yang dilakukan oleh seseorang itu juga turut tidak sah. Itulah akibatnya jika tidak melakukan mandi wajib dengan betul.

Mandi wajib yang juga sebagai mandi junub atau janabah tidak boleh dipandang ringan oleh umat Islam. Setiap orang yang mlakukannya mestilah mengetahui dan memenuhi rukun-rukunnya. Jika tidak mandi wajib seseorang itu tidak akan sah.

Rukun Mandi Wajib

  • Niat.
  • Menghilangkan najis di badan.
  • Meratakan air keseluruh anggota badan yang zahir.

Niat mandi wajib:

Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala.

Atau

Sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala.

Niat itu di dalam hati dan ia hendaklah disertakan ketika air sampai ke mana-mana bahagian anggota badan.

Bagi perempuan yang habis haid, niat mandi wajib ialah:

Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Taala.

Manakala bagi perempuan yang habis nifas, niat mandi wajibnya ialah:

Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Taala.


Niat itu jika dilambatkan atau ketika seseorang itu memulakannya selepas dia telah membasuh salah satu anggota badannya akan menjadikan mandi wajibnya tidak sah.

Oleh itu dia mestilah memulakan kembali niatnya ketika dia mula menyampaikan air ke seluruh anggota badannya. Sekiranya dia berniat sebelum air sampai ke badan, niat itu juga tidak sah. Oleh itu mandi wajibnya tidak sah.

Mengenai rukun mandi wajib menghilangkan najis yang ada pada badan, menurut Ustaz Haji Mat Jais, menurut Imam Nawawi, jika kita ada najis di badan, najis itu boleh dibasuh serentak dengan mandi wajib. Ertinya membasuh najis dengan mandi itu boleh disekalikan.

Sementara rukun mandi wajib meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir, meliputi kulit, rambut dan bulu yang ada di badan, sama ada bulu-bulu yang jarang atau lebat.

Jika rambut seseorang itu ditocang atau disanggul, sekiranya tidak sampai air ke dalamnya, tocang atau sanggul itu wajiblah dibuka. Bulu-bulu dalam lubang hidung pula, tidak wajib dibasuh kerana dianggap batin. Tetapi sekiranya, bulu-bulu di dalam hidung itu bernajis, ia wajiblah dibasuh.

Mengenai kuku pula, jika di dalam kuku ada kotoran yang boleh menghalang sampai air ke badan khususnya di bahagian bawah kuku, kotoran itu wajiblah dibuang. Membuang kotoran di dalam kuku itu pula boleh dilakukan ketika sedang mandi.

Rambut Yang Diwarnakan Selain Inai

Sebenarnya jika rambut seseorang itu diwarnakan dengan pewarna selain inai, mandi wajib seseorang itu tidak sah. Oleh itu, seseorang yang mewarnakan rambutnya dengan pewarna bukan inai, jika dia hendak mandi wajib, dia mestilah membuang pewarna pada rambutnya terlebih dahulu. Tetapi untuk membuang pewarna itu pula bagaimana?

Inilah yang rumitnya. Sedangkan pewarna pada rambut itu sebenarnya tidak boleh dibuang begitu mudah.

Yang menyebabkan mandi wajib orang yang menggunakan pewarna pada rambutnya tidak sah kerana pewarna itu akan menyalut rambutnya yang menghalang air sampai ke rambut. Ini berbeza dengan inai. Inai sebenarnya akan meresap ke rambut, tetapi pewarna pula akan menyalut rambut menyebabkan air terhalang ke rambut.

Tetapi dalam hal ini, jangan pula ada yang salah faham. Sebenarnya pewarna itu jika dikeluarkan sijil halal oleh JAKIM dan sekiranya pewarna itu tidak bernajis, bukanlah bermaksud menjadi tidak sah. Dalam hal ini, sukalah saya menyatakan bahawa sembahyang dan mandi wajib itu berbeza. Jadi, mestilah dipandang dari sudut yang berbeza.

Dalam hal ini juga, sukalah saya menyatakan, huraian mengenai rukun mandi wajib seperti yang telah saya nyatakan ini adalah merupakan perbezaan sah atau tidak mandi wajib. Jadi, ia perlulah diberikan perhatian yang lebih oleh umat Islam.

Mengenai sebab-sebab seseorang itu wajib mandi wajib pula, Ustaz Haji Mat Jais menegaskan, sebab-sebabnya terdiri daripada 6 sebab. 3 sebab melibatkan lelaki dan perempuan iaitu kerana bersetubuh walaupun tidak keluar air mani, keluar air mani dan mati. Manakala 3 sebab lagi hanya melibatkan kaum perempuan sahaja, iaitu keluar darah haid, nifas dan melahirkan anak (wiladah) .

Mandi wajib boleh dilakukan di mana-mana dengan menggunakan air mutlak sama ada air telaga, air paip, sungai, laut dan tasik.

Bagi pasangan suami isteri yang bersetubuh pula, mereka tidak semestinya mandi selepas bersetubuh, tetapi diwajibkan mandi ketika ingin beribadat. Selepas bersetubuh pula, jika ia dilakukan pada waktu malam, jika tidak mahu mandi wajib, seelok-eloknya ambillah wuduk sebelum tidur itu adalah sunat, manakala tidak berwuduk sebelum tidur adalah makruh.


Kesimpulan yang diringkaskan:

  • Mandi dalam keadaan bercangkung dan juga berdiri. Kerana apabila bercangkung celah punggung akan terbuka dan air akan rata dan sampai ke bahagian itu.
  • Mereka yang memakai pewarna rambut selain inai adalah tidak sah mandi wajibnya dan solatnya juga akan tidak sah sekiranya mandi wajib tak sah. Tapi dapat kita lihat ramai perempuan Melayu kita yang beragama Islam memakai dye rambut.
  • Niat mandi wajib mesti semasa air sampai ke anggota badan.
Semoga perkongsian cara mandi wajib atau mandi junub ini akan bermanfaat buat anda.