Hukum Tiup Lilin Kek Hari Jadi Ulang Tahun Kelahiran Dalam Islam

hukum meniup lilin kek sambut hari jadi

Apabila umur semakin meningkat dan tarikh lahir semakin dekat, itulah saat yang ditunggu dengan penuh kebahagiaan untuk meniup lilin. Menjemput rakan taulan, sanak saudara dan ahli keluarga datang ke rumah untuk bersama meraikan majlis hari jadi, hari kelahiran atau pun birthday party yang diadakan untuk makan bersama disamping gembira akan mendapat hadiah-hadiah birthday.

Walau bagaimanapun, satu perkara yang seperti telah menjadi tradisi apabila majlis hari jadi diadakan pasti akan ada sebiji kek bersama lilin dan orang yang menyambut hari jadi akan tiup lilin diikuti dengan nyanyian happy birthday dan juga sambil bertepuk tangan serta bersorak ramai-ramai.

Perkara ini iaitu menyambut hari jadi sebegini adalah cara barat dan sebahagian daripada orang Islam masih lagi ada yang berbuat demikian dan menganggap ia tidak salah di sisi agama Islam. Tetapi apakah hukum meniup lilin ketika menyambut hari jadi? Mungkin masih ramai yang tidak mengetahuinya.

Hukum Tiup Lilin Hari Jadi Dalam Islam


Memetik kata-kata dari laman merdeka.com, tradisi tiup lilin telah ada sejak zaman Yunani Kuno. Dalam sejarah juga disebutkan bahawa menyalakan lilin adalah sebuah cara khusus seseorang untuk membayar seperti barang berharga kepada dewi bulan yang terdapat dalam mitologi Yunani iaitu dewi Artemis.

Pada zaman dahulu, kuih yang diguna haruslah berbentuk bulat agar dapat melambangkan bulan dan lilin yang diletakkan  di atasnya sebagai lambang cahaya bulan. Sebelum orang-orang Yunani Kuno meniup lilin, mereka terlebih dahulu akan berdoa memohon sesuatu hajat yang mereka inginkan.

Manakala asap dari lilin yang melayang di udara pula dianggap sebagai penghantar doa-doa mereka kepada sang dewi. Oleh kerana itu, tradisi tiup lilin tidak hanya dilakukan pada saat ulang tahun, tetapi setiap kali mereka memiliki keinginan.

Disebabkan itu juga tradisi tiup lilin ketika seseorang itu menyambut ulang tahun dengan meniup lilin boleh dikatakan termasuk di dalam aktiviti keagamaan orang-orang Yunani Kuno. Lilin juga dapat diibaratkan sebagai cahaya kehidupan bagi orang-orang yang bukan Islam.

Dalil Islam Meniup Lilin Ketika Hari Jadi


hukum menyambut ulang tahun kelahiran

Oleh kerana meniup lilin pada ketika sambut ulang tahun adalah "warisan" tradisi dari budaya non-muslim, maka, Rasulullah menjelaskan hal yang berkaitan dengan perkara tersebut dalam hadis yang diterangkan di bawah ini :

Rasulullah SAW bersabda:

"Barang siapa yang menyerupai dengan suatu kaum, maka ia sebahagian dari kaum itu."

[HR. Abu Daawud]

Jika kita melihat pada hadis di atas, adalah sebaiknya kita terus tinggalkan tradisi tiup lilin tersebut, kerana tradisi tiup lilin bukanlah tradisi umat Islam dan ia juga menyerupai tradisi orang bukan Islam. Lebih menakutkan tradisi meniup lilin seumpama itu juga sering dilakukan oleh kaum yahudi dan nasrani.

Kenapa Orang Islam Tak Boleh Tiup Lilin Hari Jadi?


Ada beberapa sebab musabab mengapa orang Islam tidak dibenarkan meniup lilin ketika menyambut hari jadi atau hari ulang tahun kelahiran itu seperti yang dinyatakan berikutnya:

Rasulullah tak pernah mengajar atau mengadakan tradisi perayaan sambutan ulang tahun kelahiran termasuk dengan tradisi meniup lilin. Sebaiknya tinggalkan tradisi tiup lilin dan ia seolah-olah menjadi sebahagian acara wajib setiap tahun bagi sesetengah orang Islam pada zaman ini sedangkan Rasulullah tidak pernah berbuat demikian.

Membuat birthday party atau sambutan hari ulang tahun yang berlebihan merupakan salah satu sikap pemborosan yang amat dibenci oleh Allah. Wang ringgit yang digunakan untuk membeli lilin kek hari jadi adalah lebih bernilai di mata Allah jika disedekahkan atau untuk sebarang perkara yang baik.

Tradisi tiup lilin bukanlah tradisi umat Islam dan tidak patut diadakan kerana menyerupai tradisi umat bukan Islam. Meniru-niru atau mengikut cara hidup sesuatu kaum disebut juga sebagai tasyabuh dan perkara tersebut amat dilarang dalam Islam.

Sehingga kini masih lagi ada sesetengah daripada masyarakat kita iaitu orang Islam masih melakukan tradisi tiup lilin kerana merekea tidak tahu bagaimana asal-usul tradisi tersebut dan apakah maksud yang tersirat disebaliknya.

hukum sambut hari lahir tiup lilin

Disebabkan alasan inilah kita perlu menjadi umat Islam yang bijak berfikir dan membuat keputusan supaya dapat membezakan secara jelas apakah yang baik dan yang manakah yang buruk. Jangan hanya mengikut sesuatu perkara tanpa mengetahui kebaikan dan keburukkannya.

Semua orang tahu bahawa umat Islam hanya mempunyai tiga perayaan yang besar yang diwajibkan kita menyambutnya iaitu Aidil Fitri, Aidil Adha dan hari Jumaat dan sambutan hari lahir atau birthday party langsung tidak termasuk di dalamnya.

Menurut salah satu kajian seperti dinyatakan dalam perkongsian di laman Facebook, meniup lilin yang berada di atas kek hari jadi menjadi salah satu penyebab tersebarnya bakteria, kuman atau zat-zat yang negatif di kek birthday tersebut.

Walau bagaimanapun, adalah tidak menjadi masalah yang besar sekiranya kita menganggap pertambahan umur di tarikh lahir kita adalah hari yang paling istimewa malah tidak berdosa. Tetapi, kita harus sedar di hari itulah yang kenyataannya umur kita semakin berkurang di dunia ini dan tahun demi tahun terus berganti yang mana kehidupan kita semakin pendek.

Adalah lebih baik jika di hari kelahiran kita itu kita jadikan sebagai majlis kesyukuran iaitu bersyukur kepada Allah di atas kurniaanNya yang telah menciptakan kita serta dapatnya kita lahir ke dunia ini. Juga wajib bersyukur kerana kedua orang tua kita telah membela dan menjaga kita sejak kita dilahirkan.

Berkurangnya umur pun dapat kita jadikan sebagai masa untuk bermuhasabah diri dan memikirkan apakah yang patut kita lakukan pada sisa hidup kita yang masih ada untuk terus taat kepada Allah SWT. Mohonlah dan berdoa kepada Allah agar diberikan kesihatan yang baik agar terus dapat membuat amal dan ibadat kepadaNya selagi nyawa masih ada.

Sekiranya anda ingin juga menyambut hari lahir, adalah tidak menjadi masalah dengan hanya membeli kek tanpa meniup lilin serta memakannya dan ditambah dengan doa-doa yang sesuai untuk diri kita atau lebih jelas lagi membuat majlis kesyukuran berlandaskan agama Islam serta tidak menyimpang ke arah yang tidak sepatutnya.

Penjelasan Sambutan Hari Lahir Mengikut Hukum



Jika kita ingin memberi hadiah hari lahir kepada seseorang beragama Islam, itu juga tidak menjadi masalah kerana memberi hadiah kepada sesama Islam amat disukai Rasulullah malah perkara itu menunjukkan kita saling menyayangi serta dapat mengeratkan pertalian silaturrahim sesama kita.

Diingatkan juga, jika anda ingin mengadakan sebarang majlis makan-makan seperti majlis kesyukuran bersama jiran-jiran, sanak saudara atau rakan-rakan, sebaiknya niatkanlah perkara itu sebagai satu ibadah dan yang paling penting jangan membazir atau berlebih-lebihan.

Niatkan saja majlis makan-makan itu sebagai sedekah, memberi rezeki kita kepada mereka atau berkongsi rezeki sama ada dalam bentuk makanan atau minuman dan sebagainya. Sekurang-kurangnya kita telah menggunakan rezeki kita dengan baik kerana bersedekah yang amat dituntut dalam Islam.

Semoga perkongsian hukum sambut hari jadi dan tiup lilin ini akan memberikan anda sedikit sebanyak pengetahuan yang sepatutnya diketahui oleh semua orang Islam bahawa sambutan hari jadi dengan meniup lilin pada kek adalah tidak dibenarkan. Mulai hari ini berpesan-pesanlah kepada ahli keluarga, sanak saudara dan semuanya agar mereka tahu tentang ini. Semoga bermanfaat.