Ada beberapa perkara yang membatalkan puasa yang harus diketahui oleh semua orang Islam yang berpuasa agar ibadah di bulan Ramadhan ini akan lebih sempurna serta diterima Allah SWT serta kita akan diberikan ganjaran pahala.
Sesiapa pun kita sama ada lelaki, wanita dan suami isteri asalkan orang Islam, wajib tahu apakah perkara yang membatalkan puasa serta apakkah perbuatan yang wajib dijauhi oleh orang yang sedang berpuasa di siang hari bulan Ramadhan.
Perkara Yang Membatalkan Puasa Ramadhan
Antara perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah seperti yang dikongsikan di bawah:
1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan dengan sengaja, sama ada daripada jenis makanan atau bukan makanan. Termasuk perkara-perkara yang berikut:
A. Menghisap rokok / tembakau, candu, dadah dan sebagainya. Dan menghisap (Nusyuk) melalui hidung.
B. Suntikan makanan atau menambah vitamin.
2. Memasukkan sesuatu daripada dua jalan (Qubul & Dubur)
3. Memuntahkan makanan dengan sengaja
4. Jimak (Bersetubuh)
Sebagaimana Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW, katanya: Celaka aku, wahai Rasulullah.
Nabi SAW berkata: Apakah yang mencelakakan engkau?
Jawab lelaki itu: Aku telah bersetubuh dengan isteriku pada waktu siang di bulan Ramadan.
Rasulullah SAW berkata: Sanggupkah engkau memerdekakan hamba?
Jawab lelaki itu: Tidak sanggup.
Rasulullah SAW berkata: Hendaklah engkau berpuasa dua bulan berturut-turut?.
Jawab lelaki itu: Tidak mampu.
Kata Rasulullah SAW: Adakah engkau mempunyai makanan untuk diberikan kepada enam puluh orang miskin?.
Jawab lelaki itu: Tidak. Kemudian lelaki itu duduk, sekejap lepas itu datang seseorang kepada Nabi SAW dengan memberi satu bakul besar berisi tamar.
Lalu Rasulullah SAW bersabda: Sedekahkanlah kurma ini.
Kata lelaki itu: Kepada siapakah? Kepada yang lebih miskin daripada aku? Demi Allah tidak ada penduduk kampung ini yang lebih berhajat kepada makanan selain dari kami seisi rumah.
Nabi SAW tertawa sehingga terlihat gigi taringnya dan berkata: Pulanglah, berikanlah kurma itu kepada ahli rumahmu. (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)
5. Keluar Mani dengan sengaja
Dengan apa cara yang pada adatnya boleh membawa kepadanya. Atau dengan sengaja memandang, atau berfikir-fikir, cium, sentuh dan sebagainya. Akan tetapi sekiranya keluar kerana bermimpi tidak membatalkan puasa.
6 & 7. Keluar darah Haid dan Nifas
8. Gila
9. Murtad terkeluar daripada islam samaada dengan perkataan atau perbuatan atau keyakinan.
10. Pengsan sepanjang hari ketika berpuasa
Persoalan Yang Sering Menjadi Kemusykilan
Berikutnya beberapa persoalan yang berkaitan dengan puasa dan perkara yang membatalkan puasa yang sentiasa menjadi tanda tanya di kalangan orang ramai yang masih lagi tidak tahu tentang ini mengikut hukum syarak dalam Islam.
Apakah perkara-perkara yang membatalkan puasa?
Perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah seperti berikut: Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja, kecuali kerana darurat yang berkaitan dengan kesakitan.
- Makan, minum dan merokok membatalkan puasa. Adapun suntikan ubatan tidak membatalkan puasa. Muntah dengan sengaja
- Mengeluarkan air mani
- Melakukan jimak (hubungan seks) pada siang hari
- Kedatangan haidh, nifas atau kelahiran bagi wanita
- Menjadi gila
- Pitam sepanjang hari
- Mabuk (yang menghilangkan daya pemikiran waras) sepanjang hari
- Murtad, iaitu keluar dari agama Islam
Adakah mimpi sehingga keluar air mani membatalkan puasa?
Hadas besar yang disebabkan mimpi tidak membatalkan puasa, sama ada ianya berlaku sebelum atau selepas waktu sahur. Orang yang berhadas tersebut boleh meneruskan puasanya. Yang perlu hanyalah mandi junub.
Saya telah bermimpi sehingga mengeluarkan mani pada siang hari bulan Ramadan, kemudian saya mandi junub. Adakah mandi junub tersebut membatalkan puasa saya?
Bermimpi sehingga mengeluarkan mani dan mandi junub tidak membatalkan puasa. Malahan, sekiranya termasuk air ke dalam telinga atau tertelan air ketika berkumur-kumur (sewaktu mengambil wuduk atau mandi) puasa tidak terbatal kerana ia dikira tidak sengaja.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengampuni umatku yang tersilap, terlupa atau dipaksa melakukan sesuatu." (Riwayat At-Tabarani)
Ada yang mengatakan berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung menjejaskan puasa seseorang. Sejauh manakah kebenaran pendapat ini?
Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk adalah sunat. Bagi orang yang berpuasa pula, maka tidak boleh berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dengan berlebihan.
Sekiranya seseorang berwuduk dengan tidak kelebihan dan air itu termasuk ke dalam kerongkong, maka puasanya tetap sah. Samalah keadaannya jika dimasuki debu jalanan, debu tepung atau lalat yang terbang masuk ke dalam kerongkong.
Semua ini dimaafkan kerana tidak sengaja. Namun, jika seseorang berkumur-kumur dengan berlebihan, ia boleh menyebabkan air masuk ke dalam kerongkong, dan jika ini berlaku, maka puasanya batal.
Adakah seseorang yang sedang berpuasa itu boleh melakukan sukan renang?
Berenang boleh menyebabkan masuknya air ke dalam hidung dan/atau telinga perenang. Jika air memasuki badan cara sedemikian, adalah batal puasa seseorang.
Dengan ini, sebagai langkah berjaga-jaga, mereka yang berpuasa dinasihatkan agar tidak berenang di siang hari Ramadan untuk mengelakkan dari terbatalnya puasa. (Sila rujuk soalan di atas)
Apakah hukum menggunakan inhaler (bagi pesakit semput) ketika berpuasa?
Antara perkara yang membatalkan puasa ialah kemasukan sesuatu ke dalam badan melalui rongga yang terbuka. Namun, kemasukan seuatu bahan seperti ubat inhaler di atas dasar darurat, yang berkaitan dengan kesukaran bernafas, dibolehkan syarak. Oleh yang demikian, penggunaan inhaler yang berpatutan tidak membatalkan puasa.
Adakah suntikan "insulin" membatalkan puasa?
Suntikan insulin bagi pesakit kencing manis tidak membatalkan puasa. Ini adalah kerana suntikan tersebut bukanlah melalui rongga yang terbuka dan tidak pula memberi sebarang kekenyangan atau kepuasan kepada si pesakit.
Saya pernah terdengar bahawa jikalau seseorang itu berpuasa, dia dilarang ‘membersihkan’ telinga atau hidungnya. Samada menggunakan cotton bud ataupun jari. Kerana perbuatan itu akan membatalkan puasanya. Adakah benar?
Di antara sebab batal puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja. Membersihkan telinga atau hidung tidak semestinya membatalkan puasa. Ia dibolehkan dengan kadar yang sederhana dan berhati-hati.
Contohnya, membersihkan telinga di kawasan yang tidak terlalu dalam. Namun, jika anda merasa ragu-ragu sekiranya perbuatan anda boleh membatalkan puasa, maka jangan lakukan dan bersihkanlah telinga dan hidung di waktu malam.
Adakah boleh saya menderma darah sewaktu berpuasa?
Menderma darah di dalam kuantiti yang sederhana dibolehkan dan tidak membatalkan puasa. Namun, pendermaan yang terlalu banyak sehingga menyebabkan kelemahan pada tubuh badan, sehingga tidak dapat menjalani ibadat puasa dengan baik, tidak digalakkan sama sekali.
Semoga perkongsian tentang perkara-perkara yang membatalkan puasa dalam Islam pada bulan Ramadhan akan membantu anda serta menambahkan pengetahuan berserta terjawab persoalan yang menjadi tanda tanya selama ini. Semoga bermanfaat. - ilmualam.com