Amalan solat tahajjud di akhir malam adalah baik dilakukan kerana keistimewaan dan kelebihan solat tahajud terlalu banyak tak terkira. Walau bagaimanapun, untuk melakukan solat ini yang lebih afdal dibuat pada waktu malam memerlukan kerajinan dan semangat yang tinggi.
Kelebihan solat tahajjud juga ada dinyatakan di dalam ayat-ayat Al-Quran yang membuktikan betapa banyaknya kebaikan solat yang dilakukan di akhir malam ini. Semoga perkongsian ini akan memberikan anda semangat untuk melakukannya dengan mudah dan tanpa was-was.
Keistimewaan dan Kelebihan Solat Tahajjud
Solat tahajjud adalah antara solat sunat yang diperintahkan secara langsung melalui Al-Quran selepas dalil solat 5 waktu. 4 kelebihan solat tahajud yang diperolehi atau dialami oleh mereka yang sering bangun bertahajud sahaja.
Tak kira siapa pun kita atau sekuat mana dan khusyuknya seseorang itu melakukan solat-solat yang lain atau solat fardhunya kerana kelebihan ini hanya akan diberikan khusus kepada orang yang bangun berqiamullail bagi menghidupkan malamnya kerana Allah SWT semata-mata iaitu ketika semua orang lalai dalam tidur mereka.
Dalil Bangun Tahajjud
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَى أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا.وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا.وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا
Yang bermaksud:
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia;
dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku",Dan katakanlah: "Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".
(Al-Isra’ 17: 79-81)
4 Kelebihan Tahajud Berdasarkan Dalil di Atas:
1. Allah S.W.T. akan memudahkan pekerjaannya
Yang bermakna, dia akan dimudahkan dalam melakukan kerja seharian. Sebagai contoh, dia akan mudah untuk dinaikkan pangkat di jabatannya sementara orang lain pula akan bersetuju dan suka untuk menjadi pekerja bawahannya. Iaitu dia diangkat kedudukannya dengan disukai bukannya dengan dibenci dan iri hati oleh sesetengah orang. Kelebihan ini adalah berdasarkan maksud ayat:
مَقَامًا مَحْمُودًا
(Semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji)
2. Dibimbing oleh Allah Ta’ala di dalam urusannya
Sebagai contoh, dibimbing Allah semasa bekerja, dibimbing Allah semasa berumah tangga, dibimbing semasa menghadapi masalah dan juga dalam kehidupan seharian. Kelebihan ini pula berdasarkan terjemahan ayat:
رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ
(Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia)
3. Diberikan jalan penyelesaian yang terbaik ketika menghadapi masalah
Iaitu apabila ditimpa masalah, Allah akan membimbing anda ke jalan penyelesaian yang terbaik. Tetapi hanya didaptkan oleh para hamba-Nya yang solat tahajjud sahaja. Kelebihan ini adalah berdasarkan terjemahan ayat
وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ
(Keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia)
4. Jika diganggu dalam hidupnya, Allah akan menolong tanpa perantaraan
Kerana kelebihan keempat bagi orang yang bangun tahajjud adalah:
وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا
(Dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku)
Contoh yang terbaik adalah, jika anda hendak mengelakkan diri anda daripada disihir oleh orang lain, bangun di akhir malam untuk tahajud adalah cara yang terbaik untuk mendapat perlindungan-Nya. Kerana Allah adalah sebaik-baik pelindung. Sebagaimana firman Allah:
حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
"Cukuplah Allah menjadi penolong kami, dan Dialah sebaik-baik pelindung".
Dalil Lain Di Dalam Al-Quran yang menganjurkan kepada Nabi-Nya yang mulia untuk melakukan Solat Malam.
Antaranya adalah:
Firman Allah:
وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا وَمِنَ اللَّيْلِ فَاسْجُدْ لَهُ وَسَبِّحْهُ لَيْلًا طَوِيلًا
"Dan sebutlah nama Rabb-mu pada (waktu) pagi dan petang. Dan pada sebagian dari malam, maka sujudlah kepada-Nya dan bertasbihlah kepada-Nya pada bagian yang panjang di malam hari."
(Al-Insaan/76: 25-26)
Lagi Allah Berfirman:
وَمِنَ اللَّيْلِ فَسَبِّحْهُ وَأَدْبَارَ السُّجُودِ
"Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya di malam hari dan setiap selesai shalat."
(Qaaf 50: 40)
Allah Ta’ala Juga Berfirman:
وَاصْبِرْ لِحُكْمِ رَبِّكَ فَإِنَّكَ بِأَعْيُنِنَا ۖ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ حِينَ تَقُومُ وَمِنَ اللَّيْلِ فَسَبِّحْهُ وَإِدْبَارَ النُّجُومِ
"Dan bersabarlah dalam menunggu ketetapan Rabb-mu, maka sesungguhnya kamu berada dalam penglihatan Kami, dan bertasbihlah dengan memuji Rabb-mu ketika kamu bangun berdiri, dan bertasbihlah kepada-Nya pada be-berapa saat di malam hari dan waktu terbenam bintang-bintang (di waktu fajar)."
[Ath-Thuur 52: 48-49]
Selain itu, Allah Azza Wa Jalla pun memuji para hamba-Nya yang soleh iaitu yang senantiasa melakukan solat malam dan bertahajud, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
"Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam; dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah)." (Adz-Dzaariyaat 51: 17-18)
Kesimpulannya
Lakukanlah solat sunat tahajjud sementara anda mampu. Takkan nak tunggu pencen baru nak buat solat malam. Pada pada permulaannya memang kena paksa diri untuk bangun solat tahajud seperti yang telah saya lakukan.
Kemudian, perlahan-lahan ajar diri kita untuk membiasakan diri bangun akhir malam untuk berqiamullail. Ingatlah, para nabi dan para rasul juga sentiasa melakukan solat malam padahal mereka sudah dijamin syurga.
Sedangkan kita ini, nabi pun tidak, rasul pun tidak dan amalan pun masih 50/50. Itu pun malas nak bangun solat tahajjud. Sepatutnya kitalah yang sepatutnya lagi bersemangat. Oleh itu, mari kita sama-sama bangun bertahajud menghidupkan malam dengan bermunajat kepada Allah. Semoga dipermudahkan kesemuanya.
Inilah perkongsian kebaikan dan kelebihan solat tahajjud yang harus diketahui oleh semua orang. Semoga perkongsian ini adalah pembakar semangat anda untuk melakukan solat tahajud ini dengan lebih bersemangat dan kerap. Wallahu A’lam.